Saturday, August 14, 2010

Kisah Mona ( Episod Akhir )


TARIKH : 9 FEBRUARI 1995
TEMPAT : MAHKAMAH TINGGI TEMERLOH
TERTUDUH : JURAIMI HUSIN, MOHD AFFANDI ABDUL RAHMAN
DAN MAZNAH ISMAIL ATAU MONA FANDEY.
HAKIM : DATUK MOKHTAR SIDIN


(Juraimi Husin, Mohd Affandi Abdul Rahman danMaznah Ismail atau Mona Fandey )


Tepat jam 2.31 petang, tujuh juri membuat keputusan sebulat suarabahawa ketiga-tiga tertuduh perbicaraan kes bekas Adun Batu Talam bersalah menyebabkan kematian Datuk Idros @ Mohd Mazlan Idris di rumah tak bernombor di Kampung Peruas, UluDong, Raub Julai 1993. Juraimi Husin (tertuduh pertama), Mohd Affandi Abdul Rahman (kedua) danMaznah Ismail atau Mona Fandey (ketiga), dijatuhi hukuman mati mandatori.

Reaksi tertuduh ketika keputusan penghakiman dibacakan

Tiada tangisan, tapi senyuman diberikan oleh pasangan bomoh Maznah Ismail atau Mona Fandey dan Mohd Affandi Abdul Rahman ketika ketua juri memberi keputusan 7-0, bahawa mereka dan Juraimi Husin bersalah membunuh Datuk Idros @ Mohd Mazlan Idris.

Juraimi pula terdiam sambil menahan sebak ketika ketua juri menyampaikan keputusan sebulat suara itu kepada Hakim Datuk Mokhtar Sidin.

Mona dan Affandi yang duduk bersebelahan di kandang tertuduh sempat berbual dan bergurau sebelum keputusan itu dibuat. Selepas keputusan dibuat, Mona masih mampu tersenyum dan menjelirkan lidahnya, sambil tergelak kecil memandang ke arah Affandi yang kelihatan tenang.

"I am very happy (saya gembira)," katanya dalam kandang tertuduh ketika di tanya mengenai keputusan itu sejurus hakim membacakan hukuman terhadapnya.

Affandi pula berkata: "Ini keputusan mahkamah, bukan keputusan Tuhan." Affandi sempat mengucup dahi Mona sebelum dibawa keluar dari kandang tertuduh.

Hakim ketika membacakan hukuman itu berkata:

"Berikut adalah hukuman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu satu hukuman mandatori. Saya tiada pilihan untuk menjatuhkan hukuman itu seperti berikut.

"Hukuman mahkamah terhadap kamu bertiga ialah kamu akan dibawa dari mahkamah ini ke penjara yang sah dan kamu akan dibawa ke suatu tempat di mana hukuman mati, iaitu gantung akan dijalankan."

Affandi, Mona dan Juraimi didapati bersalah membunuh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Talam itu dan dijatuhkan hukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Ketiga-tiga mereka akan mengemukakan rayuan terhadap hukuman itu.

Hakim berkata, mereka berhak merayu secara automatik ke Mahkamah Rayuan, walaupun Mona dan Affandi tidak membuat rayuan di Mahkamah Tinggi Temerloh ketika itu.

Peguambela Juraimi, Karam Singh Bhal yang membuat rayuan bagi pihak Juraimi selepas Mokhtar membuat keputusannya, berkata Juraimi yang berusia 23 tahun ketika melakukan pembunuhan itu tidak mendapat pendidikan tinggi, setakat darjah tiga. Katanya, Juraimi anak kedua daripada enam beradik juga tidak mempunyai pekerjaan.

"Dia juga seorang yang jujur dan taat kepada ibu bapa serta tidak pernah melakukan kesalahan jenayah sebelum ini. Saya merayu kepada mahkamah untuk menimbang nasibnya dalam kesalahan jenayah pertamanya," katanya.

Juraimi pula berkata: "Terpulang kepada jasa baik mahkamah."

Peguambela Mona dan Affandi pula berkata, dia diarahkan oleh Mona dan Affandi untuk membawa keputusan itu ke Mahkamah Rayuan. Affandi dan Mona berkata, mereka menerima keputusan mahkamah Pendakwa kes bunuh Datuk Mazlan Idris berjaya membuktikan Juraimi, Affandi dan Mona atau Mona Fandey mempunyai niat untuk membunuh bekas Adun Batu Talam itu.

Hakim Datuk Mokhtar Sidin yang menggulung kes perbicaraan itu berkata, tiga unsur yang menunjukkan pasangan bomoh itu dan pembantu mereka mempunyai niat untuk membunuh Datuk Mazlan berjaya dikemukakan oleh pendakwa melalui keterangan saksi.

Katanya, pendakwa membuktikan bahawa unsur pertama iaitu Mazlan mati diantara jam 10 malam 2 Julai 1993 dan 12 tengah malam 8 Julai 1993 di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Peruas, Ulu Dong Raub. Unsur kedua kematian Mazlan adalah disebabkan perbuatan ketiga tertuduh atas niat bersama, sementara unsur ketiga adalah semua tertuduh dengan niat serta pengetahuan menyebabkan kematian Mazlan turut dibuktikan oleh pendakwa, katanya.

Menurutnya, ketiadaan sebarang luka tangkis pada mayat Mohd Mazlan seperti yang disahkan oleh Pakar Perunding Kanan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Abdul Rahman Yusof turut membuktikan Mohd Mazlan dibunuh dengan niat. Sebaliknya, katanya, pembela gagal mengemukakan keterangan sokongan kepada fakta yang ditimbulkan dalam perbicaraan bagi mewujudkan keraguan munasabah.

Menurutnya, Affandi berkata tongkat sakti dan songkok ajaib berharga RM2.5 juta mempunyai hikmat tetapi gagal membuktikannya walaupun memanggil dua saksi untuk memberi keterangan sewaktu pembelaan. Mokhtar berkata, bukti juga tidak dikemukakan bagi menunjukkan bahawa pasangan bomoh itu memiliki RM900,000 seperti didakwa oleh pembela serta hidup dalam suasana mewah.

Sebaliknya, katanya, Mona dan Affandi berbelanja besar lebih RM200,000 selepas kematian Mohd Mazlan sedangkan pendakwa berjaya membuktikan Mazlan mengeluarkan RM250,000 pada siang 2 Julai 1993. Sedangkan, katanya, baki dalam akaun simpanan Mona dan Affandi tidak banyak iaitu sekitar RM2,000.

Katanya, kebanyakan not RM200,000 yang dibelanjakan oleh pasangan bomoh itu adalah not RM1,000 sama seperti not yang diterima oleh Mazlandari bank.

Cerita dalam mahkamah sudah selesai. Juri memberi keputusan 7-0. Kalau main bola sepak ni kata orang kena belasah teruk macam pasukan Malaysia. Tugas aku tak tamat lagi, aku kena bekejar ke luar mahkamah kena dapat kenyataan daripada ketiga-tiga tertuduh. Uh, mana dan aje le, hulur perakam kaset. Nanti ada satu gambar, engkau orang nampak tangan aku saja. Hasilnya : ""Hukuman itu adil dan saya sudah jangka macam itu," kata Maznah Ismail atau Mona Fandey mengenai keputusan sebulat suara tujuh juri bahawa dia, Affandi dan Juraimi bersalah membunuh Datuk Idros @ Mohd Mazlan Idris.

Katanya, dia puas hati dengan keputusan mahkamah dan akan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan. "Saya menerima keputusan itu. Syukur Alhamdulillah. "Saya juga ucapkan terima kasih kepada wartawan dan seluruh rakyat Malaysia. Saya cintakan Malaysia," katanya ketika dibawa keluar dari bilik mahkamah untuk ke trak polis.

Menjawab soalan, Mona berkata dia sangat sayangkan suaiminya, Affandi. "I love Encik Fandi very much," katanya.

( Mona )

Ditanya mengapa sayang Affandi, Mona menjawab: "Affandi adalah hak saya hak saya juga adalah hak Affandi." Mengenai anaknya Mona menjawab: "Anak saya tak kisah, kalau ada laki,dapat anak." Mona ketika ditanya sama ada mahu meminta maaf kepada keluarga Mazlan seperti yang dilakukan oleh Juraimi, katanya:"Saya sayang pada keluarga Datuk semua. Sebagai adik kandung saya."

( Affandi )


Affandi pula ketika ditanya perkara yang sama pula menjawab: "I only (saya cuma) minta maaf to God (pada tuhan). Pada isteri Datuk pun tidak. "I'm not the one who do it (bukan saya melakukan pembunuhan itu), but he the one who do it (tetapi dia yang melakukannya)."

( Juraimi )


Juraimi pula ketika ditanya mengenai keputusan mahkamah, berkata dia macam biasa dan tidak gugup ketika menunggu keputusan itu.

Tanggal 10 Februari 1995, itulah kali terakhir aku bertemu muka dengan Maznah Ismail atau Mona Fandey dan suaminya, Mohd Affandi Abdul Rahman dan pembantu mereka, Juraimi Husin. Pada hari itu, aku bertemu Monad dan Affandi di Balai Polis Temerloh, Pahang. Di sini mereka ditahan sehari selepas didapati bersalah di Mahkamah Tinggi Temerloh kerana dengan niat bersama membunuh bekas Adun Batu Talam, Datuk Mazlan Idris. Juraimi pula ditahan di Balai Polis Raub. Dari sini Mona dibawa ke Penjara Kajang, sementara Affandi dan Juraimi ke Penjara Sungai Buloh sementara menunggu rayuan masing-masing.


( Mona berjalan ke trak untuk ke Penjara Kajang )


Memang rezeki aku dapat bertemu Mona. Apa tidaknya, aku mendapat tips bahawa Mona dan Affandi akan dibawa ke penjara pada awal pagi itu. Aku bergegas ke balai polis dari hotel, tempat menginap dengan hanya memakai kemej-T. Pakai apa saja yang ringkas, takut tidak dapat bertemu mereka. Nasib baik, Mona baru dibawa keluar dari lokap. Tapi pada waktu itu, aku tidak sempat bercakap dengannya kerana diiringi polis.Namun, sebagai wartawan, aku tidak mengalah dan buat apa saja asalkan Mona buka mulut. Apabila peluang tiba, soalan pertama yang keluar dari mulut aku adalah :"Wah glamourlah Kak Mona." Itu kata orang soalan pemanis mulut - pembuka bicara – untuk memancing dia bercakap.Nak tahu apa Mona jawab : "Saya tak mahu glamour. Dari dulu pun saya tak glamour."

( Gaya ketika menghadiri perbicaraan )


Mona sering berpakaian cantik dan seksi serta berdandan sepanjang perbicaraan kes bunuh Datuk Mazlan Idris. Ditanya jika tidak mahu glamour mengapa pula berpakaian cantik.Jawapanny agak laser, katanya dalam sinis : "Yalah, takkan hendak telanjang pulak." (Ambil kau, kena sebiji).

Menurutnya lagi, dia mahu tersenyum ketika dalam tahanan sementara menanti rayuannya dan hukuman selepas itu. "Saya mahu tersenyum kepada semua orang. Senyum bagi orang tengok," katanya dari trak polis yang membawanya ke Penjara
Kajang.

Pada hari itu, Mona seperti pada hari dijatuhkan hukuman kelihatan riang dan ketawa dengan anggota polis yang berada di situ. Bomoh itu sempat juga bergurau dan mengucapkan selamat tinggal kepada anggota polis di balai itu.

Mona dan suaminya, Affandi serta Juraimi, didapati bersalah mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan dihukum gantung sampai mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama. Mereka didapati bersalah membunuh Datuk Mazlan di rumah tak bernombor di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub pada Julai 1993.

Mona sentiasa kelihatan bergaya

Mona sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada semua orang sambil berkata: "Saya sayang orang Malaysia. Terima kasih." Ditanya perasaannya yang menjadi pesalah dan bukan lagi tertuduh katanya: "Saya sama saja dari dulu. Orang tengok pun
macam itu." Sebelum trak polis meninggalkan perkarangan Balai Polis di sini untuk ke Balai Polis Raub mengambil Juraimi, Mona sempat berpesan: "Jangan tulis bukan-bukan. Saya tidak suka apa saya katakan ditokok tambah. Jangan tulis sebarangan, jangan buat cerita." (Kena sebiji lagi)

Apa yang dibawa Mona ke penjara? Aku nampak lima bungkusan plastik mengandungi pakaian dan alat solek Mona dan suaminya Affandi.

Itu cerita Mona, lain pula cerita Affandi. Aku ingat peluang untuk bercakap dengannya buat kali terakhir tidak kesampaian. Apa tidaknya, ketika sibuk 'memburu' Mona, Affandi sudah masuk ke dalam trak untuk ke Penjara Sungai Buloh. Tapi, kata orang kalau ada rezeki, tak ke mana. Ketika trak itu hendak beredar dari balai polis, Affandi berteriak dan memanggil aku. Dia tahu aku wartawan, mana tidaknya, aku duduk di depan dia setiap hari perbicaraan. Tapi, dia tak tahu nama aku.


( Jenazah Mona dan Affandi dikebumikan di Tanah Perkuburan Ahli-Ahli Kariah Masjid Kajang di Kampung Sungai Kantan, Kajang. )


Pada Subuh 2 November 2001, Mona, Affandi dan Jurami menjalani hukuman gantung sampai mati di Penjara Kajang selepas rayuan mereka ditolak Mahkamah Rayuan. Jenazah mereka selamat disempurna dan dikebumikan pada hari sama. Jenazah Mona dan Affandi dikebumikan sebelah menyebelah di Tanah Perkuburan Ahli-ahli Kariah Masjid Kajang di Kampung Sungai Kantan, Kajang.Jenazah Juraimi pula dikebumikan di kampungnya, Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang, Selangor.

Al-Fatihah- Amin....

No comments:

Post a Comment