Saturday, August 14, 2010

Kisah Mona ( Episod 5 )


Perbicaraan kes bunuh Datuk Mazlan Idris di MahkamahTinggi Temerloh pada 1995 aku teruskan lagi.Kali ini aku nak bawakan keterangan mengenai tongkat sakti dan songkok hikmat. Ada bertanya apa pentingnya kedua-dua benda itu dalam kes ini. Tentulah penting. Jika tidak, takkan dibawa ke mahkamah.

Tongkat sakti dan songkok hikmat yang diambil dari rumah tidak bernombor di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub, tempat jasad Datuk Idros @ Mohd Mazlan Idris ditemui pada Julai 1994, tidak boleh dipisahkan. Tongkat dan songkok yang ditemui di rumah pasangan bomoh, Mohd Affandi Abdul Rahman, Maznah Ismail atau Mona Fandey, yang dikatakan bernilai lebih RM2.5 juta itu mesti dipakai bersama. Perkara itu diberitahu oleh peguambela, Mona dan Affandi, Ghulam Mustaffa Nadar Ali Khan, ketika memeriksa balas saksi pendakwa ke-56, Penolong Penguasa Mahpop Jaafar. Ghulam Mustaffa juga berkata, tongkat yang kononnya milik Presiden Sukarno itu dibawa dari Indonesia. Tongkat hitam yang panjangnya kira-kira satu meter dengan
hulu dan pangkalnya disalut perak serta songkok hitam lipat itu kemudian dikemukakan di mahkamah dan diterima sebagai barang kes. Mahpop dalam keterangannya berkata, tongkat dan songkok itu diambil oleh Timbalan Penguasa Takbir Ahmad Nazir Ahmad
di rumah berkenaan pada 22 Julai 1993. Menurutnya, dia juga pernah melihat kedua dua barang itu

ketika menjalankan pemeriksaan di rumah berkenaan pada 19 Julai 1993. "Saya mendengar cerita tongkat dan songkok itu telah dijual kepada Allahyarham Datuk Mazlan dan saya tidak tahu nilainya," katanya. Ghulam Mustaffa ketika memeriksa balas Mahpop mengenai tongkat dan songkok itu antara lain bertanyakan soalan berikut: Ghulam: Pada 19 Julai 1993, ketika memeriksa rumah tidak bernombor di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub, adakah Encik Mahpop menjumpai satu tongkat. (Ghulam kemudian meminta izin Hakim Mokhtar Sidin untuk bertanya sesuatu kepada Affandi). Tongkat itu panjangnya kira-kira satu meter, kedua-dua hujungnya disalut perak. Mahpop: Saya ada nampak. Ghulam: Tahukah Encik Mahpop, bahawa tongkat itu...

(Ghulam terhenti seketika untuk memikirkan perkataan sesuai untuk menunjukkan kepentingan tongkat itu. Pada ketika ini, hakim mencelah).

Hakim: Tongkat hikmat...

Ghulam: Satu tongkat sakti yang tidak dapat dimiliki dengan wang ringgit. Bilakah Takbir ambil tongkat itu?

Mahpop: Pada 22 Julai 1993. Ghulam: Tongkat sakti... (belum\ sempat Ghulam meneruskan ayat itu hakim sekali lagi mencelah).

Hakim: Saya catatkan tongkat saja, saktinya sudah hilang.

Ghulam: Ada satu lagi barang berharga. Adakah Encik Mahpop nampak satu songkok?

Mahpop: Ada. Ghulam: Apa warnanya. Mahpop: Hitam.

Ghulam: Songkok itu berlipat?

Mahpop: Jenis lipat. Ghulam: Tahukah Encik Mahpop, itu adalah songkok hikmat
dan songkok sakti seperti yang dikatakan oleh hakim?

Hakim: Saya tak kata.

Mahpop: Bagi saya, ia adalah songkok biasa. Sehingga hari ini, saya tidak tahu hikmatnya. Begitu juga dengan tongkat itu.

Ghulam: Tadi kata tahu.

Mahpop: Saya hanya dengar cerita.

Ghulam: Tahukah Encik Mahpop, tongkat dan songkok itu tidak boleh dipisahkan. Mesti pakai bersama-sama.

Mahpop: Ya.

Ghulam: Adakah Encik Mahpop pegang dan belek tongkat itu? Mahpop: Ada, tapi biasa saja.

Tongkat sakti itu juga dikatakan mengandungi dua besi hikmat. Besi kuning dan aji dalam tongkat hitam sepanjang kira-kira satu meter dengan hulu dan pangkalnya disalut perak itu juga dikatakan mempunyai keistimewaan tersendiri. Ghulam Mustaffa memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa kedua-dua besi hikmat itu yang disimpan di hulu tongkat itu sudah hilang.

"Tongkat ini sudah dibuka," katanya sambil membuka dan menunjukkan hulu tongkat itu. Peguambela itu memberitahu demikian ketika menyoal balas saksi pendakwa ke-57, Timbalan Penguasa Takbir Ahmad Nazir Mohd.

Takbir juga menafikan kenyataan Ghulam bahawa dia telah berbuat sesuatu kepada tongkat itu, termasuk membuka hulu dan melihat isi kandungannya.

Bagaimanapun, pegawai polis itu mengaku ada membelek-belek songkok hikmat hitam yang ditemui di tempat yang sama, tetapi tidak nampak ayat-ayat ikal seperti yang dinyatakan oleh Ghulam Mustaffa.

Ditanya oleh Ghulam Mustaffa sama ada dia mengetahui keistimewaan tongkat dan songkok itu katanya: "Saya tidak nampak apa-apa keistimewaan pada tongkat dan songkok itu."

Takbir juga berkata, dia diberitahu oleh Penolong Penguasa Mahpop Jaafar, bahawa tongkat itu milik Mazlan.

Pegawai polis itu mengambil tongkat dan songkok berkenaan pada 22 Julai 1993 selepas diberitahu mengenainya oleh tertuduh kedua. Kedua-dua barang itu kemudian disimpan di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur sehingga
diserahkan kepada Mahpop pada 11 Ogos 1993.

Pasti ada bertanya mengapa kedua-dua benda itu dikatakan begitu berharga. Tertuduh kedua kes pembunuhan Datuk Mazlan, Mohd Affandi Abdul Rahman memperolehi tongkat dan songkok yang dikatakan peninggalan Presiden Sukarno, Indonesia kerana
rapat dengan ahli pondok dan kiai di Jawa Barat, Indonesia.

Menurutnya, dia juga pemegang amanah Dana Aliran Wang Bantuan di tiga pesantren (pondok) di kawasan itu.

"Saya selalu membantu pesantren. Dari situlah saya mencari wang membantu pesantren seperti membina atau membesarkan musolah (masjid) serta untuk kegunaan pasentren.

"Saya juga murid kiai di tiga-tiga pesantren," katanya.

Affandi berkata, dia memberitahu demikian ketika Datuk Mazlan ke rumahnya di Tanjung Lumpur, Kuantan pada 1993 untuk mengetahui lebih lanjut mengenai keistimewaan songkok dan tongkat itu.

Menurutnya, dia juga memberitahu Mazlan, harga songkok dan tongkat serta azimat itu ialah RM2.5 juta.

Katanya, barang-barang itu pernah ditawarkan kepada seorang kerabat diraja Negeri Sembilan, Tengku Hishamuddin Tengku Laksaman Nasir tetapi tiada jawapan mengenainya.

"Saya juga memberitahu Datuk Mazlan, dia perlu membayar cengkeram RM500,000 jika mahu barang-barang itu," katanya. Affandi berkata, Mazlan hendak sangat barang-barang itu kerana telah lama mendengar mengenai keberkesanannya.

Katanya, Mazlan mempercayai akan keistimewaan azimat, tongkat dan songkok itu selepas mencubanya sendiri. itu cerita songkok dan tongkat berharga RM2.5 juta. Orang banyak duit aje yang mampu membeli benda itu. Kalau tongkat dan songkok - kena beli kedua-duanya - beli satu, ilmu tak jadi - mahal, pasangan bomoh Affandi dan isterinya, Maznah Ismail atau Mona Fandey ada jual azimat. Yang ini taklah sampai juta-juta ringgit tapi, hampir RM10,000 juga. Dalam keteranganny, Affandi memberitahu mahkamah harganya RM7,000 saja. Itulah harga yang diletakkan oleh mereka kepada sesiapa yang ingin mendapatkan satu azimat.

Harga itu juga dikenakan oleh mereka untuk memasukkan susuk emas kepada sesiapa yang menghendakinya. Affandi berkata, lebih 700 orang kebanyakannya orang politik
`membeli' azimat itu daripadanya ketika mereka tinggal di Teluk Gong, Klang pada 1991.

Menurutnya, azimat itu antara lain boleh menjadikan orang yang memilikinya kebal dan tidak lut dengan senjata tajam. Selain itu, tertuduh kedua mengenakan bayaran mengikut umur kepada mereka yang ingin belajar silat.

"Jika seseorang itu berusia 17 tahun bayarannya ialah RM17, begitulah jika berusia 30 tahun, bayarannya adalah RM30.

"Saya mempunyai lebih 5,000 ahli silat sejak tinggal di Kampung Perajurit hingga Kampung Nelayan, Teluk Gong," katanya.

Affandi juga berkata, ketika di Teluk Gong dia membuka tiga gelanggang silat iaitu di Kampung Perajurit, Kampung Hamid Tuah dan Kampung Nelayan.

Menurutnya, tertuduh pertama,Juraimi Husin akan mengajar silat ketika ketiadaannya.

Affandi mengakui dia dan isteri seorang bomoh ketika tinggal di Teluk Gong.

Katanya, ketika tinggal di Kampung Nelayan, dia mengajar Juraimi membuat minyak burungserta mengenali bahan membuat ubat.

Affandi berkata, dia juga ada membeli rumah di Tanjung Lumpur, Kuantan, untuk menamatkan ilmu `kullhu' yang dituntut oleh Juraimi.

Affandi memberitahu mahkamah dengan mengamalkan lmu `kullhu', Juraimi menjadi kebal hingga boleh makan kaca, kalis asid, kalis senjata dan boleh menidurkan benda bernyawa.

Datuk Mazlan dikatakan memiliki tongkat sakti dan songkok hikmat, tetapi mengapa boleh cedera dan mati dengan kapak?

No comments:

Post a Comment