Dah puas cari kat internet pasal Mona Fendi ni.. akhirnya jumpa juga artikel yang dikongsikan oleh seorang Wartawan yang ketika itu sedang meliputi kes Pembunuhan kejam yang dirancang oleh Mona Fendi bersama suaminya serta pembantunya.. Wartawan tersebut telah menceritakan kes2 yang berlaku sepanjang kes tersebut selesai.. Seram siot dgr citer wartawan tu..
Kisah Mona ( Episod 1 )
Aku pernah melihat wajahnya di kaca tv pada sekitar awal 1990-an. Apa yang aku tahu dia seorang penyanyi pada masa itu. Tapi yang aku pelik mengapa orang yang tak boleh menyanyi boleh bikin album. Bukan itu saja lagunya yang hingga kini aku sendiri tak boleh ingat masuk dalam Muzik Muzik Muzik terbitan TV3. Minggu pertama masuk dah terkeluar. Iras dan raut wajahnya macam 'jantan' memang aku tak boleh lupakan.
Mungkin ramai lagi yang tak perasan dia sebagai penyanyi. Tiba-tiba pada 1993 namanya meletup dan menjadi sebutan ramai. Bukan kerana lagunya menduduki carta lagu atau menang pertandingan menyanyi, tetapi dikaitkan dengan pembunuhan ngeri. Kalau sebut kes Mona Fandey dah ramai yang tahu siapa wanita ini. Nama asalnya Maznah Ismail. Dia bersama suaminya dan pembantu mereka ditahan kerana dituduh membunuh Datuk Mazlan Idris, Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang antara pukul 10 malam tengah malam 13 Julai 1993 di sebuah rumah di Kampung Peruas Ulu Dong, Raub, Pahang.
Mona Fandey, suaminya Mohd Affandi Abdul Rahman, dan pembantu mereka Juraimi Hussin telah dibicara dan didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Temerloh pada 1995. Rayuan mereka kepada Lembaga Jumaah Pengampunan Negeri Pahang telah ditolak. Mereka dihukum gantung hingga mati pada 6 hingga 6:30 pagi Jumaat 2 November 2001. Aku sebut pasal Mona Fandey kerana pernah 'bersama' mereka hampir setahun. Hari-hari tengok muka mereka. Banyak kisah mereka yang ingin aku ceritakan. Mungkin dah ramai tahu dan mungkin juga ingin tahu
Kes itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi Temerloh selepas lapan bulan Hakim Mahkamah Tengah Temerloh, Jalaludin Saleh yang bertindak sebagai majistret dalam siasatan awal kes berkenaan, memerintahkan supaya kes itu dibicara di Mahkamah Tinggi pada 18 Disember 1993. Kes itu dibawa ke Mahkamah Tinggi selepas mendapati keterangan pendakwa mencukupi untuk mendakwa mereka bertiga terhadap tuduhan dengan niat bersama membunuh Mazlan.
Siasatan awal kes itu dijalankan selama 17 hari di Mahkamah Majistret Raub, mulai 26 Oktober 1993. Pendakwaraya hanya memanggil 70 saksi untuk memberi keterangan dalam itu dan menawarkan 86 saksi lain kepada penguambela tertuduh.
Dalam siasatan awal juga 295 barang kes, termasuk pelbagai jenis senjata serta barang kemas, dikemukakan kepada mahkamah. Dalam siasatan awal, Mona dan Nor Affendy dibela oleh Gulam Mustapha Nadar Ali Khan sementara Juraimi pula diwakili R V Lingam. Mayat Allahyarham Mazlan dijumpai dalam keadaan terpotong kepada 18 bahagian, tertanam di bawah sebuah stor di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Peruas, Hulu Dong, pada 22 Julai 1993.
Kali terakhir Allahyarham Mazlan dilihat ialah pada jam 9.30 malam 2 Julai 1993. Laporan mengenai kehilangan Mazlan dibuat di Balai Polis Raub pada 18 Julai 1993 oleh bekas Ketua Umno Bahagian Raub, Datuk Zuki Kamaluddin, selepas Allahyarham tidak muncul dalam beberapa majlis rasmi di Pahang, sejak 3 Julai 1993. Pasangan suami isteri itu ditahan di Balai Polis Wangsa Maju, dekat Kuala Lumpur pada 20 Julai 1993 manakala Juraimi ditangkap tiga hari selepas itu.
Pasangan bomoh, Maznah Ismail atau Mona Fandey dan suaminya, Mohd Affendy Abdul Rahman serta pembantu mereka, Juraimi Husin tenang ketika tuduhan terhadap mereka dibacakan di Mahkamah Tinggi Temerloh pada hari pertama perbicaraan - 12 September 1994. Aku dapat melihat riak wajah mereka dengan jelas dari tempat duduk media. Pada waktu tuduhan dibacakan aku mesti tengok reaksi mereka untuk dilaporkan dalam akhbar. Mereka memang 'cool' ketika itu. Lagipun, itu baru tuduhan sehingga mahkamah memutuskan mereka bersalah atau tidak.
(Pindaan dibuat ke atas tarikh pembunuhan iaitu dari di antara jam 11 malam 2 Julai 1993 hingga 13 Julai 1993 kepada di antara jam 10 malam 2 Julai 1993 hingga 12 tengah malam 8 Julai 1993).
Juraimi adalah tertuduh pertama perbicaraan itu, Affendy (tertuduh kedua) dan Mona (tertuduh ketiga). Mona dan Affendy yang berdiri bersebelahan ketika tuduhan itu dibaca bercakap sesame sendiri selepas tuduhan dibaca. Juraimi pula hanya berdiam dan memandang ke arah peguambelanya. Dalam perbicaraan itu, Mona dan Affendy diwakili oleh Gulam Mustaffa Nadar Ali Khan,sementara Juraimi pula oleh Karam Singh Bahl dengan dibantu Ikmal Hisam Idris.
Timbalan Pendakwaraya Zakaria Sam dengan dibantu Timbalan Pendakwaraya AC Fernandis dan Saiful Edris Zainuddin pula bertindak sebagai pendakwaraya dalam perbicaraan yang didengar oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mokhtar Sidin. Mokhtar juga menetapkan perbicaraan dijalankan terus menerus dari jam 9 pagi hingga 2 petang serta memperuntukkan waktu rehat tidak lebih 15 minit.
Peraturan itu bagi memastikan kelancaran perjalanan perbicaraan. Memang mencabar membuat liputan kes ini. Aku dan seorang lagi wartawan kena buat transkrip percakapan dalam mahkamah. Kadang-kadang ada juga perkataan yang 'miss' kerana percakapan mereka kurang jelas.Dalam hal ini, kalau tak minta bantuan rakan media lain, aku merujuk pada hakim, pendakwa raya atau peguam bela.
Hakim Datuk Mokhtar Sidin beberapa kali menegur pihak pendakwaraya dan peguambela supaya tidak membazir masa dan memastikan perbicaraan berjalan lancar.
Cantik ke si Mona Fandey? Persoalan itu sukar untuk dijawab. Pada aku cantik atau tidak terpulang kepada mata orang yang memandangnya. Tapi apapun, Maznah Ismail atau Mona Fandey yang muncul kali pertama di khalayak ramai selepas lebih lapan bulan - pada 12 September 1994 - memang berbeza dengan penampilannya sebelum itu. Pada mata aku, dia pada masa itu kelihatan semakin cantik dan seksi.
Malah, ketika dia keluar mahkamah untuk menaiki trak,orang ramai yang berdiri di luar pagar mahkamah berteriak: "Mona makin lawa! Mona makin lawa!" Mona hanya membalas dengan senyuman berikutan pujian orang ramai itu.
Beberapa anggota polis, saksi dan wakil media massa juga berpendapat Mona semakin anggun dan berseri-seri. Mona pada hari itu mengikat rambutnya dengan riben biru muda, menampakkan lehernyayang jinjang.
Dia yang memakai blaus merah berbintik hitam tanpa lengan serta seluar ketat berwarna hitam tersenyum lebar melihat reaksi orang ramai menjerit-jeritkan namanya.
Dia yang memakai rantai manik berwarna ungu gelap dan gelang tangan merah berjalur hitam kelihatan sihat dan riang berbanding tertuduh kedua, Mohd Affendy Abdul Rahman, dan Juraimi Husin (tertuduh pertama).
Aku juga masih ingat pada hari kedua perbicaraan Affendy turut memuji-muji kecantikan isterinya. Aku tengok Mona cukup gembira dengan pujian suaminya. Pada aku Mona ada aura tersendiri. Kata orang dia pakai 'pemanis'. Almaklumalah seorang bomoh. Tapi itu aku tak pasti. Itukan cakap-cakap orang. Mana boleh pakai.Tapi yang pasti dalam keterangan di mahkamah dia mengaku membuat pembedahan plastik. Yang ini bukan cakap-cakap kosong, tetapi fakta dalam mahkamah. Cerita pasal Mona bergaya pun menjadi perhatian ramai. Ada yang suka dan tidak kurang menyampah. Adatlah di dunia ini tak semua orang suka pada apa yang kita buat walaupun tak ada kena mengena dengan mereka.
Dalam hal ini Mona berhak memakai pakaian yang disukainya pada perbicaraan. Bagaimanapun, Hakim Makhamah Tinggi, Datuk Mokhtar Sidin, yang mendengarperbicaraan itu boleh meminta Mona berpakaian lebih sopan, jika berpendapat pakaian tertuduh itu tidak sesuaidengan suasana mahkamah.
Alasannya Mona hanyalah tertuduh kes itu dan dan belum dibuktikan bersalah. Mona mempunyai kebebasan untuk memakai pakaian yang disukainya di samping berhias. Mona hanya tahanan polis yang dipercayai terbabit dengan kes bunuh dan bukannya banduan yang perlu memakai pakaian yang disediakan oleh pihak penjara. Selagi tiada teguran daripada Mokhtar, selagi itu Mona boleh memakai pakaian yang diminatinya.
Apapun pada aku si Mona ni pandai menjaga imejnya. Pakaiannya walaupun tidak begitu banyak dia pandai memadankannya. Tetapi kadang kala'over' pula aku tengok.
Ada ketikanya tidak kena tempat. Ada beberapa kali pakaiannya nampak seksi dan terpaksa ditutup dengan selendang dan jaket. Memang si Mona ni suka glamour kot.
Ditanya jika tidak mahu glamour mengapa pula berpakaian antik, Mona berkata: "Yalah, takkan hendak telanjang pulak. "Menurutnya lagi, dia mahu tersenyum ketika dalam tahanan sementara menanti rayuannya dan hukuman selepas itu. "Saya mahu tersenyum kepada semua orang. Senyum bagi orang tengok," katanya.Tapi yang aku tahu ketika dibawa ke Penjara Kajang dia membawa lima beg plastik yang berisi pakaian dan aksesorinya.
Cerita Mona Fandey cantik, lawa, menawan, anggun dan seksi rupa-rupanya menjadi perhatian bukan saja dalam mahkamah, malah di luar sana. Aku sebenarnya pernah tengok gambar Mona ketika dia menjadi penyanyi. Aku tak mahulah komen buruk pasal orang lain. Lagipun siapalah aku nak komen orang tu cantik atau tidak. Aku bukannya pakar kecantikan, tapi sekadar wartawan cabuk. Nanti bebudak sekarang cakap cantik ke dia nak mengata orang.Tapi, hakikatnya Mona tidaklah semenawan ketika perbicaraan kesnya. Lain benar Mona yang aku tengok dalam akhbar, majalah dan tv dengan Mona ketika 1994.Tak tahulah aku - dia tu kan bomoh 'handal'. Tak mahu aku buruk sangka. Dapat dosa aje.
Tapi, sewaktu perbicaraan mahkamah diberitahu bahawa Mona pernah menjalani pembedahan plastik di bahagian muka, dahi dan hidung di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.Motifnya tentulah supaya kelihatan lebih muda dan cantik.
Pembedahan oleh pakar bedah plastik, Dr Wong Kang Shen di Hospital Tung Shin, Jalan Pudu itu dijalankan pada 15 Julai 1993.
Dr Wong memberitahu Mahkamah Tinggi Temerloh bahawa kos rawatan untuk pembedahan itu lebih RM13,000.
Menurutnya, pelanggannya itu, Maznah Ismail, menemuinya di pejabatnya di Plaza KL pada 5 Julai 1993 untuk mendapatkan penerangan mengenai pembedahan berkenaan. "Dalam pertemuan itu, dia (Mona) meminta saya menjadikannya lebih muda dan cantik," katanya. Dr Wong berkata, pembedahan untuk menegangkan kulit muka dan dahi serta hidung itu berjalan hampir lima jam.
Pembedahan itu adalah dari belakang teling kanan, merentasi atas kepala dan ke bawah bahagian belakang teling kirinya. Dr Chua menyifatkan pembedahan itu sebagai biasa, walaupun agak intensif. Doktor pakar itu juga memberitahu mahkamah, Mona keluar dari hospital itu dua hari kemudian.
Gambar rajah di atas membawa banyak cerita dalam kes Mona Fandey. Nak tahu apa yang tersirat dalam gambar rajah ini. Nanti aku ceritakan... Gambar rajah itu adalah keratan badan jasad Datuk Mazlan idris yang dipotong 18 bahagian. Memang mengerikan. Aku yang diberi pelung melihat foto-foto cebisan tulang keratan itu tidak tergamak hendak melihatnya kali kedua. Malam tu aku tak boleh tidur terbayang-bayang apa yang dilihat siangnya. Dalam keterangan di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 23 November 1994 tertuduh pertama kes ini, Juraimi Husin mengaku menetak leher Datuk Mazlan.
"Saya tetak leher Datuk Mazlan dengan kapak sebanyak tiga kali baru kepalanya putus selepas mendapat isyarat tangan daripada Affandi (Mohd Affandi Abdul Rahman)," kata Juraimi dalam keterangan membela diri.
Menurutnya, dia kemudian memotong sendi dan melapah kulit serta daging Mazlan setelah mendapat arahan lanjut daripada Affandi. Bagaimanapun, tertuduh pertama
itu tidak dapat ingat berapa bahagian dia memotong tulang dan daging mayat Mazlan.
(Perunding Kanan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Abdul Rahman Yusof dalam keterangannya memberitahu mahkamah mayat Mazlan dipotong18 bahagian).
Tulang dan daging itu kemudian saya masukkan ke dalam basin dan mencurahkannya ke dalam lubang stor rumah yang sudah digali sejak seminggu lalu dan menimbusnya.
"Saya kemudian menyimen lubang itu pada keesokan harinya (3 Julai 1993)," akuan itu ketika disoal peguambelanya, Karam Sigh Bahl.Kejadian itu, menurut Juraimi, dilakukan atas rancangan dan arahan Maznah Ismail atau Mona Fandey (tertuduh ketiga) dan Affandi (kedua) di rumah tidak bernombor di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub, pada 2 Julai 1993.
Juraimi berkata, Mazlan kemudian diarah berbaring dengan Mona duduk di bahagian kepalanya sambil meletakkan bunga pada dahi mangsa.
Katanya, ketika Mazlan baring, Affandi ada berkata: "Datuk (Mazlan) baring, nama ada suara ghaib berkata, duit sebanyak ini akan jatuh."Menurutnya, Affandi yang duduk di sebelah Mona pula menutup mata Mazlan dengan tangannya."Tertuduh kedua itu kemudian memadam lampu dan menyalakan lilin. Affandi kemudian menutup mata Mazlan dengan tangan sambil berkata kepada saya: "Rong (Gondrong), tetak biar kena tepat, jangan salah tempat, kalau tidakhabislah. "Kemudian Affandi memberi isyarat tangan dan saya menetak leher Mazlan," kata Juraimi. Gondrong adalah nama panggilan Juraimi.
Ketika perbicaraan kes pembunuhan Datuk Mazlan Idris di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 1994 - keterangan saksi pendakwa Dr Abdul Rahman Yusof - aku kira paling menarik. Dr Abdul Rahman yang pada waktu itu Perunding Kanan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur memberi keterangan selama tiga jam 18 minit di mahkamah. Tugas dia memang mencabar membuat bedah siasat jadad Datuk Mazlan. Ia bukan pertama kali dia menjalankan bedah siasat mayat, tetapi kali ini berlainan sekali.
Beberapa tahun selepas kes itu, aku bertemua semula Dr Abdul Rahman secara kebetulan ketika menyaksikan satu perembahan di Istana Budaya. Pada waktu itu, dia masih mengenali aku. Aku pula ingat-ingat lupa wajahnya. Selepas memperkenalkan dirinya, aku bertanya khabarnya. Kami hanya sempat berbual ringkas. Tapi dia ada memberitahu selepas kes Mona Fandey, keadaannya tidak 'stabil'.
Dia kemudian dihantar ke luar negara sebelum kembali bekerja di HKL. Dr Abdul Rahman dalam keterangan di mahkamah turut ditunjukkan tiga senjata tajam iaitu sebilah kapak dan dua bilah parang untuk mendapatkan pengesahan sama ada senjata itu boleh menyebabkan kecederaan hingga membawa kematian.
Senjata yang mungkin menyebabkan kematian Datuk Mazlan Dr Abdul Rahman memberitahu kapak yang matanya berukur 17 sentimeter itu boleh menyebabkan kecederaan sehingga membawa maut.
Sebelum itu, beliau meminta izin mahkamah untuk mengukur kapak berkenaan apabila Timbalan Pendakwaraya, Zakaria Sam, bertanya sama ada senjata boleh digunakan bagi memancung.
Dr Abdul Rahman memberitahu mahkamah, senjata yang berat seperti parang panjang, kapak dan pedang boleh digunakan bagi memancung, sebagaimana kecederaan yang dialami oleh Mazlan.
ZAKARIA: Parang kecil ini boleh menyebabkan kecederaan
sehingga membawa kepada kematian mangsa?
DR ABDUL RAHMAN: Senjata ini (sambil mengukur) mempunyai
blade (mata) sepanjang 35 sentimeter daripada handle (hulu).
Lebarnya adalah lebih kurang 4.5 sentimeter.
ZAKARIA: Bolehkah senjata itu membawa maut kepada
mangsa?
DR ABDUL RAHMAN: Saya rasa agak sukar walaupun boleh
untuk hasilkan luka pada bahagian leher.
ZAKARIA: Adakah senjata ini boleh menyebabkan kecederaan
sehingga membawa maut? (sambil menunjukkan parang panjang).
DR ABDUL RAHMAN: Parang ini blade (mata) berukuran
30.3 sentimeter panjang. Lebarnya lima sentimeter.
ZAKARIA: Bolehkah ia menyebabkan kecederaan yang
membawa maut?
DR ABDUL RAHMAN: Tidak sesuai kerana ia ringan.
ZAKARIA: Pada kecederaan lain, daripada tiga senjata yang
mana mungkin menyebabkan kecederaan lain?
DR ABDUL RAHMAN: Ketiga-tiga boleh menyebabkan
kecederaan lain iaitu seperti luka hiris pada abdomen.
No comments:
Post a Comment