Saturday, August 14, 2010

3. Segi Tiga Borneo ( Sarawak )

Tragedi Bario dikaitkan dengan Segi Tiga Borneo

Oleh BORHAN ABU SAMAH dan IZWAR ABDUL WAHID (WARTAWAN UTUSAN)



KAWASAN helikopter Bell 206 Long Ranger terhempas yang menyebabkan juruterbang dan enam penumpang terbunuh pada 12 Julai lalu di kenali sebagai kawasan Segi Tiga Borneo yang memang ditakuti oleh juruterbang.

Kedudukannya di antara Bario, Pa'Lungan dan Gunung Murud itu adalah antara kawasan paling ditakuti di kalangan juruterbang yang berulang-alik antara Bario ke Ba'kelalan.

Seorang juruterbang Hornbill Skyways yang enggan dikenali berkata, kawasan berkenaan mempunyai persamaan dengan Segi Tiga Bermuda dan menyimpan pelbagai misteri.

Malah seorang jurucakap Jabatan Penerbangan Awam (DCA) juga memberitahu bahawa kawasan berkenaan memang terkenal sebagai kawasan berbahaya sejak zaman pemerintahan British lagi.

Tahun lepas, sebuah helikopter jenis sama milik Hornbill Skyways terhempas di kawasan segi tiga berkenaan dan meragut nyawa juruterbangnya.

Nahas terbaru menambah lagi lipatan misteri di kawasan berkenaan ekoran tempoh yang terlalu lama diambil bagi mengesan kedudukan bangkai helikopter berkenaan.

Yang menghairankan semua pihak mengapa juruterbang, Kapten Samsuddin Hashim tidak mengikut laluan udara yang ditetapkan DCA dan memilih laluan itu yang memang telah sedia maklum cukup berbahaya kerana sering berlaku fenomena angin lintang.

Pada kebiasaannya dari Bario untuk ke Ba'kelalan jika menggunakan helikopter, laluan yang ditetapkan ialah mengikut sebelah tepi kanan Gunung Murud dan apabila laluan itu ditutupi oleh awan, juruterbang akan berpusing ke arah kiri gunung itu.

Ini adalah kerana Bario dan Ba'kelalan dipisahkan oleh Gunung Murud dan pesawat ringan tidak mempunyai kemampuan mengikut laluan yang mendaki gunung itu.

Di dalam kes kali ini juruterbang itu dipercayai memilih untuk terbang ke puncak gunung berkenaan berdasar kawasan bangkai pesawat itu ditemui dan keadaan helikopter yang seolah-olah tidak dapat dikawal dan melanggar pokok-pokok.

Walaupun di kawasan Gunung Murud memang terdapat kawasan pendaratan kecemasan termasuk jalan balak, tetapi risikonya terlalu tinggi kerana helikopter mungkin gagal mendaki dan akan melanggar gunung tersebut.

Seperkara yang menjadi persoalan, juruterbang helikopter malang itu juga ti-dak memaklumkan kepada menara kawalan di Bario atau Kota Kinabalu atau Miri sebelum mengubah haluannya.

Sedangkan mengikut prosedur penerbangan, juruterbang perlu memaklumkan kepada menara kawalan udara tentang sebarang perubahan laluan yang diambilnya.

Biasanya perubahan laluan itu berlaku apabila penumpang yang paling kanan memberi arahan supaya juruterbang pergi ke kawasan lain dan juruterbang harus mematuhinya.

Bagaimanapun di dalam keadaan cuaca buruk, juruterbang mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan haluan yang harus digunakan dan tiada pihak yang boleh memberi arahan kepadanya.

Semua persoalan itu mungkin terjawab selepas siasatan oleh DCA selesai dalam tempoh sebulan lagi atau mungkin terus menjadi persoalan yang tidak terjawab.

Banyak pihak juga yang mempersoalkan cara operasi mencari dan menyelamat (Ops Cari) di Bario dikendalikan kerana ia tidak diterajui sejak awal lagi oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seperti lain-lain tragedi di negara ini.

Penglibatan `orang politik' di dalam operasi kali ini menjadikan ia kurang berkesan pada peringkat awal kerana ia berjalan secara tidak teratur dengan pelbagai arahan dikeluarkan juga mengelirukan.

Masuk hari ketiga barulah operasi berjalan agak lancar dan lebih banyak anggota tentera, polis, bomba dan penduduk kampung dikerahkan ke dalam hutan.

Selepas itu pelbagai pesawat termasuk beberapa buah yang dilengkapi peralatan canggih mula tiba di Bario yang kesemua berjumlah 20 buah menjadikan Lapangan Terbang Bario seperti karnival pertunjukkan udara yang terbesar di Sarawak.

Pelbagai pesawat dan peralatan canggih seperti pesawat PC-3 Orient dari Amerika Syarikat, sistem maklumat geografikal (GIS), kamera digital pengesan haba infra merah dari Australia digunakan.

Rupa-rupanya peralatan canggih yang dikatakan boleh mengesan benda sekecil syiling 10 sen itu mempunyai kemampuan yang terhad apabila berdepan dengan konflik di Bario. Pelbagai kesukaran yang dihadapi sepanjang operasi itu telah menghantui semua pihak terutama ahli keluarga tujuh mangsa yang terlibat serta pasukan mencari dan menyelamat.

Penggunaan peralatan canggih yang tidak membuahkan sebarang hasil itu, telah mendorong saudara-mara mangsa yang terlibat untuk menggunakan khidmat bomoh.

Khidmat lapan bomoh termasuk empat yang diterbangkan dari Semenanjung Malaysia, digunakan bagi membantu mencari mangsa dan bangkai helikopter.

Menurut, salah seorang bomoh dari Semenanjung yang digunakan dalam usaha mencari itu, Rahim Mohamad Hail, khidmat dia digunakan bagi membantu mengesan kedudukan mangsa secara ghaib.

Upacara yang dilakukan oleh bomoh itu dibuat secara rahsia dan pemberita tidak langsung berpeluang melihat aktiviti mereka.

ARKIB : 02/08/2004

Utusan online


Gambar - Gambar Helikopter Terhempas Di Bario Sarawak


Bahrim - Harungi misteri Segi Tiga Borneo

Tarikh dan masa dimuaturun Tuesday, November 30, 2004 Jam 09:15

ADA yang menggelar kawasan ini Segi Tiga Borneo bagi menyamakannya dengan misteri Segi Tiga Bermuda di Lautan Atlantik. Terletak di antara Bario, Pa'lungan dan Gunung Murud di Sarawak, kawasan tersebut cukup digeruni oleh ramai juruterbang yang sering berulang-alik antara Bario dengan Ba'kelalan.

Mereka menyifatkan tugas menerbangkan pesawat di situ sebagai amat mencabar kerana ia menjanjikan 1,001 kemungkinan kepada juruterbang yang bakal melaluinya. Tidak ada apa yang boleh dijangkakan dengan tepat jika melalui laluan itu, baik dari segi cuaca mahu pun tiupan angin kerana kedua-dua fenomena alam itu boleh berubah dengan pantas. Kedudukannya yang tinggi dari aras laut iaitu melebihi 600 meter, ditambah bentuk muka bumi bergunung-ganang menambahkan lagi kesukaran kerana ia menyempitkan ruang penerbangan yang ada.

Kawasan itu juga memang terkenal dengan fenomena angin lintang yang boleh menyebabkan pesawat hilang kawalan. Malah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) sendiri mengakui kawasan berkenaan memang terkenal sebagai kawasan berbahaya sejak zaman pemerintahan British lagi. Sekiranya pesawat terhempas di kawasan tersebut, harapan mangsa untuk hidup adalah tipis jika lambat diselamatkan. Mangsa mungkin boleh bertahan beberapa hari dengan memakan serangga dan pucuk-pucuk kayu tetapi faktor cuaca yang terlalkan keadaan.

Di situ, suhunya adalah antara 14 hingga 16 darjah Celsius dan di dalam hutan tebal tentunya lebih sejuk. Bentuk geografi yang bertebing curam pula menyukarkan kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR). Untuk sampai ke lokasi sejauh satu kilometer sahaja memerlukan masa sekurang-kurangnya empat jam. Bagi operasi dari udara, faktor cuaca yang berkabus dan pokok rendang mengehadkan penglihatan juruterbang memantau lokasi kejadian.

Koperal (U) Bahrim Ahmad, 26, pernah mengalami sendiri apa yang diperkatakan itu. Beliau merupakan anggota Skuadron Penyelamat Tempur Udara (CAR) dari Pasukan Khas Udara (Paskau) yang berpangkalan di Labuan. ``Ia berlaku semasa saya menyertai misi SAR helikopter terhempas pada 15 Ogos lalu,'' katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semasa menyertai Eksesais Perantau (Ex-Perantau) Siri 02/2004 di Gerik, Perak baru-baru ini.

Dalam kemalangan itu, sebuah helikopter jenis Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dalam misi menghantar anggota tentera yang terlibat dalam Ops Jagakawan dari Miri ke Ba'Kelalan terhempas di kawasan hutan belantara dan pergunungan Long Seridan. Tiga orang terkorban iaitu juruterbang, pembantu juruterbang dan kuarter master, manakala tujuh penumpang cedera. ``Pasukan saya menerima arahan menyelamat mangsa helikopter terhempas pada 15 Ogos, pukul tiga petang.

``Bagaimanapun, kami tidak dapat menjalankan operasi pada hari yang sama kerana arahan diterima agak lewat. ``Operasi menyelamat tidak boleh dilakukan dalam cuaca gelap kerana merbahaya,'' jelasnya. Keesokan harinya, beliau dan tujuh rakan sepasukannya berlepas ke tempat kejadian pada pukul tujuh pagi dengan dua helikopter Nuri. Penerbangan dari Labuan ke Long Seridan memakan masa kira-kira sejam.

Sampai di lokasi yang dipercayai kawasan kemalangan, mereka berpecah untuk melakukan teknik mencari dan menyelamat dari udara. Walaupun menghadapi kesukaran akibat hutan tebal dan tebing curam, kepulan asap berwarna dari `air marker' yang dipasang oleh mangsa memudahkan pasukan Bahrim mengesan lokasi helikopter. Semasa Bahrim menjenguk ke bawah dari dalam helikopter, beliau dapat melihat mangsa-mangsa melambai-lambai tangan dari lereng bukit setinggi 1,500 meter.

Bahrim dan salah seorang rakannya terus bersiap-sedia untuk turun. Mereka tidak boleh menunggu lama kerana hentaman angin kencang ke badan helikopter menyebabkan juruterbang sukar mengawalnya. Semasa menuruni pada ketinggian 70 meter, Bahrim sendiri dapat merasakan tiupan angin lintang itu. Badannya dibuai ke kanan dan ke kiri dengan lajunya. Sebaik mencecahkan kaki ke tanah, helikopter yang mereka naiki terpaksa meninggalkan Bahrim untuk berlepas pulang ke pangkalan bagi mengisi minyak. Bahrim dan rakannya terus memeriksa mangsa.

``Mereka yang terselamat mengalami luka-luka dan ada yang patah anggota badan. ``Kami perlu merawat dengan pantas supaya semua dapat disiapkan sebelum cuaca gelap,'' katanya. Sebagai seorang anggota Paskau, beliau memang dilatih untuk melakukan rawatan kecemasan di medan peperangan. Setelah siap semuanya, Bahrim menghubungi markas operasi dan helikopter dari pasukan kedua tiba untuk membawa pulang semua mangsa yang terselamat dan terkorban. Kesemua mangsa diangkat seorang demi seorang ke dalam helikopter.

Bahrim dan rakannya, bagaimanapun tidak boleh dibawa bersama kerana tiada lagi ruang di dalam helikopter berkenaan. Namun, ia tidak menjadi masalah besar buat Bahrim kerana sebagai anggota Paskau, beliau memang dilatih dalam ilmu ikhtiar hidup. Pada malam itu, Bahrim dan rakannya `mengalong' di tengah-tengah hutan belantara itu. ``Mengalong adalah kaedah untuk mengelak daripada serangan binatang buas semasa bermalam dalam hutan.

``Kaedah ini merupakan penginapan sementara yang dibina di atas pokok,'' jelas anak kelahiran Parit Buntar, Perak ini. Bahrim juga menyalakan unggun api untuk mengelakkan binatang liar mendekati kawasan tersebut. Menurutnya, binatang buas biasanya akan menghampiri sesuatu kawasan kemalangan kerana tertarik dengan bau darah. ``Ancaman harimau kemungkinan tiada kerana terdapat banyak pokok belian yang memang ditakuti binatang jenis ini. Yang kami risau adalah beruang ganas,'' katanya lagi.

Malam itu Bahrim tidak dapat melelapkan mata. Bukan kerana takutkan binatang buas, tetapi disebabkan cuaca yang cukup sejuk sehingga meresap ke tulang hitam beserta angin kencang. Ditambah pula ruang yang cukup terhad di atas pokok. Keesokan harinya, Bahrim dan rakannya terpaksa menunggu ketibaan helikopter untuk membawa mereka pulang sehingga pukul 10 pagi. Ini kerana kabus tebal yang menyelubungi kawasan itu pada awal pagi menyukarkan juruterbang untuk terbang rendah mengambil mereka.

Sememangnya pengalaman Bahrim dalam operasi SAR di hutan Long Seridan begitu berharga buat Paskau. Segala yang dilalui beliau dalam operasi itu dapat dikongsi bersama anggota-anggota Skuadron CAR yang lain. Bahrim memulakan kerjaya dalam tentera sebagai rekrut di Sekolah Tentera Udara, Ipoh, Perak pada 10 Mac 1997. Enam bulan kemudian, beliau ditugaskan di Pangkalan Udara Kuala Lumpur sebelum berpindah ke Rejimen TUDM untuk menganggotai Paskau. Beliau kini berkhidmat di Skuadron CAR, Pangkalan Udara Labuan sejak lima tahun lalu.


2 comments:

  1. hiye there
    may i know where did you get the source
    erm i mean the helicopter crash
    im interested to go further into it

    ReplyDelete
  2. Siannya..takut le nak naik helikopter, tapi syok!

    ReplyDelete